ANGGOTA polis yang cedera parah selepas dipercayai tertembak diri sendiri pada Selasa lalu, meninggal dunia.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, anggota polis itu disahkan meninggal dunia pada pukul 5.12 petang Khamis di unit rawatan rapi (ICU) am di Hospital Pulau Pinang.
"Mendiang mengalami kecederaan serius di kepala selepas tertembak dirinya pada Selasa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Hamzah dan isterinya serta seluruh warga kerja polis negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.
"Semoga seluruh keluarga tabah menghadapi segala ujian dan ketentuan ini serta dipermudahkan segala urusan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Anggota polis tertembak kepala sendiri dalam pos pengawal
Pada Selasa, anggota polis berusia 58 tahun yang bertugas di Cawangan Kem Komandan itu, ditemukan dalam keadaan parah di kepala di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, pada pukul 6.12 petang.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang dan dimasukkan ke ICU.
Pada Khamis, mendiang dipindahkan ke unit rawatan rapi am di Hospital Pulau Pinang.
Siasatan di tempat kejadian mendapati satu tembakan dilepaskan daripada senjata yang digunakan oleh mangsa.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.