suria

Peniaga burger ke penjara... Padah culik wanita OKU!

Seorang peniaga burger dipenjara gara-gara menculik seorang wanita OKU. -Gambar hiasan

SEORANG peniaga burger berusia 40 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan selepas didapati bersalah menculik seorang wanita orang kurang upaya (OKU) dari sebuah taman permainan di Bukit Rambai Idaman, Melaka.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd Sukri Daud yang mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan pada Jumaat.

Menurut kertas pertuduhan, dia didakwa membawa Nurin Wardina Hairi, 18, dengan niat untuk mengurungnya secara salah dan rahsia.

Kesalahan itu dilakukan sekitar pukul 3 petang di taman permainan Taman RI 1, Bukit Rambai Idaman, pada 5 April.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak reka cerita jadi mangsa culik, hubungi ibu bapa untuk minta wang tebusan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam S. Amritpal Singh merayu agar hukuman diringankan dengan alasan anak guamnya hanyalah seorang peniaga burger dan perlu menanggung tiga anak kecil.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan keseriusan kesalahan dan status mangsa sebagai OKU.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 7 April.

Artikel Lain

Saiful Apek kena tahan?