SAKSI pendakwaan ke-28, yang merupakan pegawai penyiasat kanan memberitahu Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya bahawa daun pulai merupakan objek asing yang ditemukan dalam rongga pernafasan (bronkus) dan perut kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin.
Saksi berkenaan, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail pada Isnin memaklumkan ia merupakan hasil bedah siasat yang dilakukan terhadap mayat Zayn Rayyan selain keputusan analisis oleh ahli kimia terhadap objek asing yang ditemukan pada kedua-dua abdomen itu.
"Saya terima laporan awal daripada ahli kimia mengesahkan hasil laporan awal ke atas objek asing yang terdapat dalam bronkus Zayn Rayyan yang dihantar untuk analisa adalah sejenis tumbuhan daun pulai.
"Berdasarkan maklumat ini, saya jalankan siasatan di lokasi kejadian dan mendapati terdapat pokok pulai anggaran 10 meter dari tempat mayat Zayn Rayyan ditemukan," katanya dalam pernyataan saksinya, lapor Kosmo.
Perkara tersebut didedahkan semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin pada perbicaraan hari ke-17 kes pengabaian dihadapi Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
ARTIKEL BERKAITAN: Telinga dihiris, dubur luka disumbat objek tumpul! Doktor beritahu Zayn Rayyan mati dijerut, bukan lemas
ARTIKEL BERKAITAN: Saksi dedah mesej WhatsApp ‘rasa macam nak bunuh orang’, ‘hang belasah je lah sampai puas’ 6 bulan sebelum Zayn Rayyan hilang
Mohd Hafizee, 38, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berkata, dia menerima laporan hasil analisis kimia pada pukul 8.55 malam, 12 Disember 2023.
Dalam pada itu, pernyataan saksi itu turut menyatakan bahawa tiada asid deoksiribonukleik (DNA) asing yang dijumpai dalam dubur Zayn Rayyan,
Menurutnya, hasil analisa terhadap spesimen calitan dari dubur si mati tiada DNA asing yang dijumpai dan hanya DNA milik Zayn Rayyan.
Selain itu, saksi turut memberitahu berkaitan dengan hasil bedah siasat, yang mana terdapat kesan kecederaan yang dikatakan berunsur jenayah pada mayat kanak-kanak autistik itu.
Menurutnya, terdapat beberapa kecederaan lain antaranya kesan lebam di bahagian dahi, belakang badan, lengan, dada, pipi, mata, bibir dan rahang yang ditemukan pada mayat mangsa.
"Kesan kecederaan luka di bahagian telinga kiri, kesan lebam dan jerutan di bahagian leher, kesan luka seperti terhiris di bahagian lengan kanan, beberapa kesan kecederaan koyakan di bahagian dubur dipercayai menggunakan objek tumpul serta cebisan objek asing di dalam bronkus dan perut," katanya.
Mohd Hafizee berkata, perkara tersebut dimaklumkan oleh Perubatan Perunding Forensik, Dr Rohayu Shahar Adnan yang melakukan bedah siasat pada mayat kanak-kanak itu pada 7 Disember 2023.
Sebelum ini, Dr Rohayu yang merupakan saksi pendakwaan ke-27 dalam keterangannya mengesahkan terdapat benda asing ditemukan pada rongga pernafasan sebelah kanan dan dalam perut Zayn Rayyan.
Hasil bedah siasat mendapati lelangit si mati turut lebam menunjukkan benda asing di masuk atau ditolak secara paksa ke dalam mulut dan benda asing itu tidak membawa kepada kematian kerana si mati bukannya tercekik akibat kemasukan benda asing (choked to death).
Pada 13 Jun tahun lalu, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersama mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan, 6, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal semasa berada dalam jagaan mereka.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU Damansara Damai dari pukul 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 hingga 9.55 malam keesokan harinya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, Selangor, pada pukul 10 malam.
Kanak-kanak tersebut dilaporkan hilang sehari sebelum mayatnya ditemukan.