suria

Padah makan ‘free’ guna resit palsu, 2 lelaki ditahan polis

Kejadian yang berlaku di sebuah restoran tular di media sosial.

SEORANG peniaga restoran mengalami kerugian lebih RM300 akibat ditipu oleh dua pelanggan yang menggunakan resit palsu sebagai bukti pembayaran.

Kedua-dua suspek ditahan polis, susulan kejadian yang berlaku di sebuah restoran di Seksyen 13, Shah Alam pada 14 April lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis menahan dua suspek berusia 34 dan 35 tahun pada Isnin, selepas pihaknya menerima laporan daripada peniaga restoran tersebut.

"Kejadian berlaku pada 14 April lalu kira-kira pukul 10.18 malam, apabila seorang pelanggan menunjukkan resit pembayaran dalam talian berjumlah RM304.50 sebagai bukti pembelian.

"Selepas semakan dilakukan, mangsa mendapati tiada sebarang kemasukan wang dalam akaun bank perniagaannya.

"Mangsa turut memaklumkan kejadian sama pernah berlaku sebelum ini oleh individu sama, menggunakan taktik serupa. Jumlah kerugian dialami mangsa sebanyak RM348.10," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Mohd Iqbal berkata, semakan mendapati suspek pertama mempunyai tiga rekod lampau, manakala suspek kedua turut memiliki rekod lampau kesalahan jenayah.

"Reman selama empat hari telah diperoleh ke atas kedua-dua suspek sehingga Khamis ini," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara dan denda serta sebat.

Beliau turut mengingatkan peniaga agar sentiasa berwaspada terhadap taktik menggunakan resit palsu melalui pembayaran digital khususnya secara tangkap layar mahupun manual.

Terdahulu, kejadian mengenai penipuan pelanggan berkenaan tular di media sosial.

 

Artikel Lain