TIGA lelaki bersenjatakan parang merompak sebuah taska dan bertindak agresif menampar seorang guru wanita dalam kejadian di Tali Air 11, Pasir Panjang, Sabak Bernam pada Isnin.
Kejadian berlaku sekitar pukul 9.35 pagi ketika dua guru wanita dan seorang pembantu dapur sedang menunggu ketibaan kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang guru yang memaklumkan tiga lelaki tempatan menaiki sebuah kereta telah melakukan rompakan tersebut.
“Ketiga-tiga suspek yang bersenjatakan parang bertindak meluru masuk ke premis berkenaan dan melarikan dua utas rantai emas serta sebuah telefon bimbit milik dua guru terbabit.
“Polis menerima maklumat bahawa salah seorang suspek yang memegang parang telah bertindak agresif dengan menampar guru wanita itu sebanyak dua kali di pipi kiri dan kanan,” katanya, pada Selasa..
ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga serik buat urus niaga COD, dakwa pelanggan lelaki menyamar jadi wanita niat nak samun
Siasatan awal mendapati dua guru, seorang pembantu dapur dan 10 kanak-kanak berada di premis semasa kejadian.
“Tiada kanak-kanak yang cedera, namun dua guru taska mengalami kerugian apabila barang kemas dan sebuah telefon bimbit jenama Realme dilarikan,” tambahnya.
Md Yusof berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun berkumpulan menggunakan senjata.
“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, selain dikenakan denda dan sebatan,” katanya.
Usaha mengesan suspek masih diteruskan dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nor Aimi Lyana Mohd Khairani di talian 018-2510452 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam.