HUJAN lebat yang berterusan sejak awal pagi Rabu mengakibatkan beberapa kawasan dan laluan di sekitar Sungai Buloh dan Shah Alam dilanda banjir kilat.
Menerusi hantaran di laman sosial, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan air naik di persimpangan Shah Alam (Elite) menyebabkan laluan dari Plaza Tol Shah Alam ke Taman TTDI Jaya dan Shah Alam terhalang.
"Trafik dilencongkan ke Persimpangan Bukit Jelutong Sentral.
"Lorong motosikal, lorong kiri dan lorong tengah ditutup. Trafik perlahan. Pandu berhati-hati," tulisnya dalam hantaran di laman X.
Beberapa buah rumah di Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh turut dinaiki air.
Banjir kilat turut dilaporkan berlaku di Lebuhraya Elite dari Shah Alam menuju Seafield, dan Lebuhraya NKVE dari Shah Alam menuju Subang, menyebabkan trafik sesak.
Sementara itu, warga maya turut berkongsi situasi di mana beberapa buah rumah di Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh turut dinaiki air.
Menerusi video yang tular, kelihatan penghuni rumah mengharungi banjir yang naik sehingga paras lutut untuk menyelamatkan barangan daripada ditenggelami air.