MAKAN malam bertukar mimpi ngeri buat seorang lelaki apabila dia diserang sekumpulan lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang dan pedang pada awal pagi Rabu.
Kejadian yang berlaku di Jalan PJS 11/2, Bandar Sunway, Selangor itu menyebabkan mangsa berusia 30 tahun mengalami kecederaan serius termasuk putus lima jari tangan sebelah kiri selepas ditetak.
Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, insiden berlaku pukul 1.54 pagi sejurus mangsa bersama beberapa rakannya selesai makan di sebuah restoran berhampiran lokasi kejadian.
“Lima lelaki dalam kenderaan itu, disyaki warga tempatan dan bertopeng muka serta bersenjatakan parang dan pedang kemudian turun dan terus menyerang mangsa serta rakan-rakannya.
“Mangsa tidak sempat melarikan diri dan ditetak beberapa kali. Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian tangan, kaki dan badan selain kehilangan lima jari tangan kiri,” katanya pada Rabu.
Tambah Azlan, semua suspek melarikan diri menaiki kenderaan sama sejurus kejadian.
Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala rakan-rakannya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.
Polis turut meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Fadizah Ajamain di talian 019-8582166,” ujarnya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.