REMAJA lelaki mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki bahan lucah melibatkan pelajar sebuah sekolah menengah swasta selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulai, Johor pada Rabu.
Bagaimanapun, tertuduh berusia 16 tahun itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyunting (edit) gambar kanak-kanak menjadi bahan lucah.
Pengakuan itu dibuat tertuduh ketika prosiding yang diadakan secara tertutup di hadapan Majistret R. Salini.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki 14 keping gambar lucah di dalam telefon bimbitnya jenis Xiomi dengan kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Indahpura, Kulai pada pukul 5.28 petang, 8 April lalu.
Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menghasilkan bahan penganiayaan seksual seorang mangsa perempuan berusia 17 tahun dengan cara menyunting gambar menjadi gambar lucah.
ARTIKEL BERKAITAN: Remaja ditahan sunting gambar lucah guna AI, jual RM2 sekeping
Kesalahan yang dibuat tertuduh itu dilakukan di lokasi sama pada pukul 12.40 tengah hari, 9 April lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan, manakala tarikh 23 Jun ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya manakala tertuduh diwakili peguam, T. C. Lim.
Pada 9 April, remaja lelaki itu ditahan kerana didakwa menyunting dan menjual gambar lucah menggunakan aplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI).
Laporan polis berikutan kes dibuat seorang wanita berusia 18 tahun pada 3 April lalu, selepas mendapati gambar lucah yang disunting menggunakan wajahnya tular di media sosial.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar kemudiannya merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk menyunting dan memuat naik gambar bogel mangsa ke laman sosial untuk dijual pada harga RM2 sekeping.