suria

Kim Seri sah bergelar isteri jejaka Korea, tak pernah lupa ada hutang belum dilangsaikan

Kim Seri sah bergelar isteri kepada jejaka Korea pada Rabu.

PEMPENGARUH media sosial dan usahawan, Kim Seri kini memulakan fasa baharu dalam hidupnya apabila sah bergelar isteri kepada jejaka Korea yang dikenali sebagai Choi Amin.

Perkhabaran gembira itu dikongsi sendiri oleh Kim Seri menerusi satu hantaran di Instagram miliknya, yang memaparkan foto mereka sebagai pasangan suami isteri, pada Rabu.

"Dua jiwa, satu janji, satu perjalanan... Semoga Allah merahmati perkahwinan ini dan menjadikan kami suami isteri, pasangan yang bertakwa," tulisnya ringkas namun penuh makna.

Dalam hantaran sama, Kim Seri atau nama sebenarnya Seri Azlina turut memohon agar orang ramai mendoakan kebahagiaan rumah tangganya bersama suami tercinta.

"Ya Allah, berkatilah pasangan ini Choi Amin dan Seri Azlina. Limpahkanlah keberkatan kepada mereka berdua.

"Kurniakanlah mereka rezeki yang luas, penyelesaian terhadap segala hutang-hutang, kelegaan dari segala kesusahan dan keberkatan dalam hidup serta perkahwinan mereka.

Kim Seri meminta orang ramai mendoakan kesejahteraan perkahwinannya.

“Jadikanlah perkahwinan ini pintu kepada rezeki, kebahagiaan dan kejayaan. Wahai Tuhan yang Maha Pengasih," katanya lagi.

Meninjau ruangan komen, rata-rata pengikut turut meluahkan rasa teruja dan mendoakan agar pasangan itu kekal bahagia hingga ke jannah.

"Tahniah. Dah macam muka Korea dah. Choi Amin muka macam Cina Jerantut.

"Selamat Pengantin Baru Kim Seri dan encik suami. Moga berbahagia sehingga hujung nafas akhir, Amin," komen beberapa netizen.

Jelasnya lagi, majlis resepsi bakal diadakan pada awal bulan Mei yang akan dilangsungkan sekali sahaja di Korea.

Terdahulu, nama Kim Seri pernah menjadi perhatian selepas beberapa individu tampil mendakwa menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan miliknya di Korea Selatan, melibatkan kerugian hampir RM500,000.

Susulan dakwaan itu, Kim Seri tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan berjanji untuk memulangkan semula wang pelanggan yang terjejas selewat-lewatnya pada 1 Februari 2025.

Artikel Lain