suria

14,179 pelajar dapat ‘straight A’, keputusan SPM 2024 terbaik sejak 2013

Seramai 402,956 calon menduduki peperiksaan SPM tahun lalu. -Gambar hiasan

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 mencatatkan pencapaian terbaik sejak 2013 dengan merekodkan Gred Purata Nasional (GPN) 4.49, berbanding 4.60 pada 2023.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata seramai 14,179 (3.7 peratus) calon mencapai keputusan cemerlang iaitu mendapat markah A+, A-, atau A dalam semua mata pelajaran yang diambil, meningkat dari 3.1 peratus calon pada 2023.

"Seramai 355,933 (94 peratus) calon layak mendapat sijil SPM, berbanding 93.5 peratus atau 349,297 calon pada 2023.

"Ini adalah prestasi terbaik sejak 2013 apabila calon-calon perlu lulus kertas Bahasa Melayu dan Sejarah untuk melayakkan diri mendapat sijil," katanya dalam sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2024 di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Putrajaya, pada Khamis.

Calon boleh mendapatkan keputusan mereka mulai pukul 10 pagi di sekolah masing-masing dan jabatan pendidikan negeri terdekat (bagi calon persendirian).

Keputusan juga boleh didapati dalam talian di myresultspm.moe.gov.my dan melalui SMS dengan menaip SPM (ruang) nombor MyKad (ruang) nombor indeks dan menghantarnya ke 15888.

Untuk rekod, seramai 402,956 calon menduduki peperiksaan SPM tahun lalu. -The Star

Artikel Lain