KEPUTUSAN rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman atas empat pertuduhan membabitkan kesalahan subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA), ditetapkan pada 25 Jun depan.
Perkara tersebut disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada Khamis, selepas pengurusan kes yang dijalankan secara dalam talian.
Pada 17 April lalu, panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin berkata, mahkamah akan menetapkan tarikh lain bagi keputusan rayuan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq terhutang budi ramai beri sokongan... Buat bacaan Yassin di TikTok, Facebook
Syed Saddiq, 33, kini membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkannya atas empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram melibatkan dana Armada.
Menerusi keputusan yang dibuat pada 9 November 2023, Syed Saddiq dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.
Sekiranya rayuan itu berjaya, Syed Saddiq akan dibebaskan namun pihak pendakwaan masih boleh merayu di Mahkamah Persekutuan.
Sekiranya keputusan rayuan tidak memihak kepadanya, Ahli Parlimen Muar itu bagaimanapun mempunyai satu lagi peluang membuat rayuan terakhir di peringkat Mahkamah Persekutuan.