PEMANDU bas yang terbabit nahas ketika membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gerik pada Jumaat atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian 15 pelajar.
Tertuduh, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap 15 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.
Lelaki berusia 39 tahun itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di KM 53 Lebuhraya Timur-Barat, 1.15 pagi pada 9 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
ARTIKEL BERKAITAN: Bas bawa pelajar UPSI kemalangan di Gerik, sekurang-kurangnya 15 maut
ARTIKEL BERKAITAN: “Bersabarlah sedikit...” - Polis minta pemandu bas tidak keluarkan kenyataan
Dia turut didakwa atas satu lagi kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tertuduh masih mengaku tidak bersalah dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 manakala lesen memandu digantung minimum lima tahun.
Dalam kejadian 9 Jun lalu, bas yang membawa 42 pelajar dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu menuju kampus UPSI di Tanjung Malim, Perak sebelum merempuh Perodua Alza di KM 53 Jalan Raya Timur-Barat, Gerik.
Impak rempuhan itu bas berkenaan terbabas hingga menyebabkan 13 mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.