TULAR satu rakaman kamera pengawasan yang memaparkan satu janin dikeluarkan dari lubang tandas dipercayai dari sebuah stesen minyak di Jalan Pontian, Benut di Johor.
Menurut pemilik akaun Naim, janin dengan jantina perempuan itu ditemukan pada pagi Sabtu.
"Ya Allah, kesian. Penemuan satu janin bayi perempuan di dalam mangkuk tandas di BHP Api Api Jalan Pontian, Benut pukul 9.40 pagi tadi.
Kelibat pelaku dipercayai turut dirakam kamera pengawasan berkenaan.
"Janin telah dikeluarkan oleh sepasukan (anggota) bomba dari BBP (Balai Bomba dan Penyelamat) Pontian.
"Kes diserahkan kepada forensik polis untuk tindakan lanjut," kongsinya di media sosial.
Terdahulu, dalam video yang sama, Naim turut mendakwa individu terbabit didapati bersama-sama ibu dan bapanya ke stesen minyak berkenaan.
Dakwanya lagi, ibu dan bapa pelaku turut membelikan pad dipercayai bagi menutup perbuatan terkutuk itu.
"Buang anak dekat BHP Pontian. Mak ayah masuk dalam siap belikan pad untuk anak," tulisnya pada klip video berkenaan.
Video berdurasi 1 minit 8 saat itu mendapat perhatian warga maya selepas dimuat naik selepas kejadian.