suria

Nahas di Gerik: Laporan Puspakom sahkan sistem brek dalam keadaan memuaskan

Nahas di KM 53 Jalan Raya Timur-Barat, Gerik pada awal pagi Isnin lalu mengorbankan 15 penuntut UPSI.

LAPORAN awal terhadap bas yang terlibat dalam nahas mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menunjukkan brek kenderaan itu dalam keadaan berfungsi, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

Ujarnya, laporan teknikal oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang dikeluarkan pada Sabtu (14 Jun) menunjukkan bahawa sistem brek bas termasuk brake lining dan brake drum bagi setiap gandar, didapati masih berada dalam keadaan memuaskan.

"Pemeriksaan tangki pemampat udara juga mendapati tiada kebocoran tekanan udara," ujarnya menerusi satu kenyataan.

Anthony menambah, pemeriksaan fizikal tayar juga mendapati ketebalan bunganya dalam keadaan yang memuaskan dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu bas didakwa sebabkan 15 kematian pelajar UPSI mengaku tidak bersalah, mohon bicara

"Komponen bahagian stereng dan suspensi secara menyeluruh adalah dalam keadaan memuaskan.

"Berdasarkan pemerhatian dan penyiasatan teknikal, tiada petunjuk kegagalan mekanikal pada aspek-aspek ini yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan,"ujarnya.

Anthony berata, kemungkinan besar kemalangan berlaku berpunca daripada faktor-faktor lain seperti manusia, keadaan jalan dan sebagainya.

Beliau menambah, langkah penambahbaikan yang bersesuaian akan dipertimbangkan dan dilaksanakan berdasarkan penemuan akhir nanti, bagi memastikan keselamatan jalan raya terus dipertingkatkan.

"Penguatkuasaan terhadap pematuhan piawaian keselamatan, kelayakan pemandu, dan pemantauan operasi syarikat pengangkutan akan terus diperketat secara berterusan.

"Kepada semua keluarga mangsa, Kementerian Pengangkutan merakamkan ucapan takziah dan komited untuk memastikan keadilan ditegakkan serta tragedi sebegini tidak berulang," katanya lagi.

Sebelum ini, pemandu bas berkenaan mendakwa kenderaan yang dipandunya mengalami kegagalan fungsi brek menyebabkan ia hilang kawalan sebelum terbabas melanggar sebuah Perodua Alza dan penghadang jalan raya pada bahagian kiri. 

 

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia