suria

Suami isteri warga emas ditemukan mati dalam rumah

Mayat pasangan berkenaan ditemui di dalam bilik dan dapur rumah mereka. -Foto Ihsan bomba

MAYAT sepasang suami isteri warga emas ditemukan dalam keadaan menyayat hati di kediaman mereka di Kampung Sungai Ruan, Raub, tengah hari Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abd Rahman, mayat Wong Tong Seng, 75, ditemui dalam keadaan terbaring dan sudah berulat di hadapan sinki dapur.

Sementara itu mayat isterinya, Loh Kam Ngo, 73, pula ditemui dalam keadaan terbaring di bucu katil dalam bilik tengah rumah berkenaan.

Ujarnya, pasangan tersebut dipercayai meninggal dunia lebih seminggu.

Mohd Shahril berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.20 tengah hari dan bergegas ke kediaman mangsa untuk menjalankan siasatan.

"Pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah dan keadaan rumah berada dalam keadaan baik," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, polis sudah merakam percakapan anak pasangan itu yang memaklumkan ibunya menghidap penyakit Parkinson sejak 20 tahun lalu, manakala bapanya sedang menjalani rawatan akibat masalah jantung.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia