SEORANG bayi perempuan berusia 10 bulan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh semasa berada di bawah jagaan pengasuhnya di Puncak Alam, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, bayi itu dihantar ke Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan ambulans, selepas menerima rawatan awal di sebuah klinik berhampiran.
Ujar Mohd Hafiz, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pegawai perubatan wanita di Jabatan Kecemasan hospital berkenaan pada pukul 10.42 malam.
ARTIKEL BERKAITAN: Bomba tarik keluar janin dari lubang tandas, mak ayah pelaku dipercayai bersubahat
"Pengadu dan doktor pakar kecemasan memberikan rawatan pernafasan dan ubat-ubatan ke atas bayi itu kira-kira 22 minit, namun mangsa tidak menunjukkan tanda-tanda pernafasan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mohd Hafiz berkata, ibu bayi itu membuat laporan polis menyatakan menerima panggilan daripada pengasuh kira-kira pukul 5.40 petang yang memaklumkan anaknya terjatuh dan tidak sedarkan diri.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika pengasuh mahu memandikan bayi tersebut, namun mangsa dikatakan tergelincir lalu jatuh mengiring ke kanan dan mengalami sesak nafas.
"Kita sudah merakam percakapan pengasuh itu bagi membantu siasatan," katanya lagi.
Kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR) sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.