POLIS membuka kertas siasatan berhubung satu rakaman video tular memaparkan perbualan antara seorang anggota polis dan seorang wanita yang didakwa berunsur mengaibkan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, video berdurasi satu minit 30 saat itu mula dikesan tular di media sosial pada Jumaat lalu, sebelum satu laporan polis dibuat berhubung kejadian.
"Video itu pada asalnya dimuat naik oleh seorang wanita menggunakan satu nama akaun TikTok sebelum tersebar luas ke platform Instagram.
"Rakaman memaparkan seorang anggota polis sedang berinteraksi dengan seorang wanita yang tidak dikenali, namun perbualan itu didapati mengandungi unsur berbaur mengaibkan terhadap kesantunan wanita terbabit," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
ARTIKEL BERKENAAN: Gadis dakwa diganggu anggota beruniform, tak dapat check-in lepak dekat tangga pun jadilah! - “Orang nak sekarang”
Susulan itu, Mohd Azam meminta individu yang terlibat dalam video berkenaan agar tampil bagi membantu siasatan.
Ujarnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
mStar terdahulu turut menyiarkan artikel pendedahan seorang wanita yang mendakwa diganggu seorang lelaki dipercayai anggota penguat kuasa ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Dalam video yang dimuat naik di TikTok, mereka berdua dilihat berbual biasa sebelum lelaki terbabit mula mengajak gadis itu untuk 'lepak', termasuklah 'check-in' hotel dan pergi ke rumahnya, namun ditolak wanita berkenaan.