SEORANG pekerja mencuci kereta parah selepas kenderaan milik pelanggan yang dipandunya terjatuh dari tempat letak kereta di tingkat tiga sebuah pangsapuri di Jalan Klang Lama, pada Ahad.
Mangsa, lelaki warga Afghanistan memandu Toyota Camry dipercayai tersilap menekan pedal minyak dan merempuh tembok sebelum terjatuh.
Berdasarkan video yang tular di media sosial, kenderaan itu turut menghempap beberapa kereta lain yang diparkir di bawah blok kediaman berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kejadian berlaku sekitar pukul 5.38 petang, membabitkan Toyota Camry yang dipandu mangsa lelaki berusia 23 tahun.
“Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan, yang bekerja sebagai pencuci kereta, dipercayai hilang kawalan ketika cuba meletakkan kenderaan pelanggan selepas mencucinya.
“Dia dipercayai tersilap menekan pedal minyak, menyebabkan kenderaan tersebut merempuh tembok dan terjatuh dari tingkat tiga sebelum menghempap Proton Iriz dan Perodua Myvi yang diparkir di bawah bangunan itu,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua pemilik kenderaan yang dihempap tidak berada di dalam kereta mereka semasa kejadian.
Mangsa mengalami kecederaan serius dan dibawa ke zon merah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.