KANAK-KANAK lelaki yang dilaporkan lemas di kolam renang sebuah rumah inap di kondominium di Taman Kota Shahbandar, Kota Laksamana di Melaka pada pagi Ahad masih belum sedarkan diri.
Mangsa berusia tujuh tahun itu sedang mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU) Hospital Melaka.
Keadaan terkini kanak-kanak berkenaan disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem.
“Ya, mangsa yang belum sedarkan diri sedang menerima rawatan di PICU Hospital Melaka,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna Thread yang dikenali byermaaa_ memohon doa orang ramai terhadap mangsa yang merupakan ahli keluarganya.
"Mangsa belum meninggal. Masih di ICU 50/50. Doakan keajaiban untuk adik.
"Terima kasih orang ramai yang membantu famili saya di tempat kejadian," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Kanak-kanak 7 tahun lemas di kolam renang homestay
Terdahulu pada Ahad, dilaporkan pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 9.45 pagi.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Zahery Mohd Zailani, tiga jentera termasuk van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami mendapati mangsa telah dikeluarkan dari kolam renang oleh orang awam dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pasukan bomba segera memberikan bantuan pernafasan (CPR),” katanya.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Melaka oleh ambulans untuk tindakan lanjut.
Kejadian itu juga tular di media sosial [Tonton Video].