suria

Wang hibah RM1 juta belum jadi hak mutlak balu - Peguam

Akberdin mengulas kes tuntutan hibah bernilai RM1 juta yang mendapat liputan hangat media.

TUNTUTAN kes hibah bernilai RM1 juta melibatkan keluarga seorang peserta takaful yang telah meninggal dunia dengan balunya akan dimuktamadkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, kerana ia melibatkan isu bidang kuasa.

Perkara berkenaan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat lalu, selepas perbincangan dan persetujuan peguam yang mewakili kedua-dua pihak. 

Justeru, tuntutan bernilai RM1 juta berkenaan masih belum menjadi hak mutlak balu si mati.  

Perkara tersebut dijelaskan oleh peguam mewakili ibu serta abang si mati yang merupakan pentadbir harta pusaka, Datuk Akberdin Abdul Kader.

Tangkap layar ejen takaful berkenaan pada Jumaat.

"Mahkamah Sivil sebelum ini memutuskan bahawa hibah itu tidak sah daripada sudut undang-undang sivil dan mengarahkan agar wang RM1 juta itu diagihkan mengikut hukum faraid.  

"Namun menerusi persetujuan kedua-dua pihak pada Jumaat lalu, kita bersetuju bahawa tuntutan itu diketepikan dan merujuk kepada Mahkamah Tinggi Syariah bagi memutuskan sama ada hibah bersyarat ini sah atau tidak.

"Jadi duit RM1 juta ini pendek kata kena ‘hold’ dulu, dan belum menjadi hak mutlak balu si mati," ujarnya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh keluarga arwah suami tuntut hibah takaful RM1 juta tukar jadi faraid, perunding kewangan kongsi panduan elak balu ditindas

Sementara itu ujarnya, tuntutan keluarga si mati bersabit wang simpanan Tabung Haji bernilai sekitar RM166,000 kekal diagihkan mengikut hukum faraid sebagaimana yang diputuskan Mahkamah Sivil sebelum ini.

Akberdin berkata demikian bagi mengulas kenyataan ejen takaful, Shahrul Sabri yang juga adik kepada balu terbabit, bahawa kakaknya diberikan hak ke atas hibah RM1 juta yang ditinggalkan arwah suami (si mati). 

Shahrul menerusi hantaran di laman sosialnya pada Jumaat menulis bahawa kes tersebut sudah selesai dan kemenangan berpihak kepada kakaknya. 

"Hakim pada Jumaat sudah pun memberi peringatan agar jangan memberi gambaran yang salah. 

"Pihak tersebut berkata demikian seolah-olah dah dapat (hibah) apabila Mahkamah Tinggi ketepikan, tapi ia bermaksud kes ini akan didengar di Mahkamah Tinggi Syariah. Ini libatkan hukum syarak jadi biarlah mahkamah syariah putuskan. 

"Kita akan failkan kes untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah minggu ini, dalam masa terdekat," ujar Akberdin lagi.

Tangkap layar perkongsian ejen takaful berkenaan mengenai kes hibah yang hangat diperkatakan sejak Meli lalu.

Kes tuntutan berkenaan mendapat liputan meluas media sejak Mei lalu.

Kes bermula apabila seorang peserta takaful yang memiliki polisi bernilai RM1 juta meninggal dunia dan di dalam polisi berkenaan, arwah menamakan isterinya sebagai penerima hibah bersyarat (Hibah Nomination).

Selepas tuntutan hibah diluluskan syarikat takaful dan balu arwah menerima pampasan sebagaimana yang telah dinyatakan dalam penamaan hibah, keluarga si mati memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Sivil.

Mahkamah Tinggi Sivil pada Mei lalu memutuskan bahawa hibah itu tidak sah daripada sudut undang-undang sivil dan mengarahkan agar wang RM1 juta itu diagihkan mengikut hukum faraid.

Artikel Lain