MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya pada Isnin melepas dan membebaskan Zaim Ikhwan Zahari daripada pertuduhan pengabaian anaknya, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, dua tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Petaling Jaya, Dr Syahliza Warnoh selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaim.
Ibu Zayn pula, Ismanira Abdul Manaf bagaimanapun diperintah untuk membela diri atas pertuduhan berkenaan.
Keputusan itu dibuat selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan yang dikemukakan ke atas Ismanira.
ARTIKEL BERKAITAN: Ada petunjuk baharu kes bunuh Zayn Rayyan… Ibu terima pautan video rakaman mencurigakan
Sejurus keputusan dibacakan, Zaim dan Ismanira dilihat mengalirkan air mata di kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan pindaan, mereka berdua didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, kerana mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.
Ia didakwa berlaku antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan 9.55 malam, 6 Disember 2023 di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan.
Untuk rekod, Zayn Rayyan yang juga seorang kanak-kanak autistik ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kediamannya pada pukul 10 malam, 6 Disember 2023.