SEORANG lelaki berusia 21 tahun maut akibat lemas ketika mandi di sebuah kolam renang awam di Sibu, Sarawak pada Sabtu lalu.
Kejadian berlaku sekitar pukul 5 petang apabila perenang lain menyedari mangsa tenggelam dalam air dan segera menariknya keluar.
Namun, ketika itu mangsa sudah tidak sedarkan diri.
Orang awam yang berada di lokasi segera memberikan bantuan pernafasan (CPR) sementara menunggu ketibaan ambulans.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Kanak-kanak lemas di kolam homestay bertarung nyawa di PICU
Mangsa dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia kira-kira 30 minit selepas tiba di unit kecemasan.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkifli Suhaili mengesahkan satu laporan polis dibuat oleh abang mangsa.
“Hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa tidak menemui sebarang kecederaan luaran, dan tiada unsur jenayah dikesan setakat ini,” katanya.
Dia turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan atau menjejaskan privasi keluarga mangsa.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan.