suria

Polis lengkapkan siasatan kes pelajar perempuan diikat kaki, tangan dalam tandas

Polis menahan individu terlibat bagi membantu siasatan. -Gambar hiasan AI

POLIS sedang melengkapkan siasatan berhubung kes seorang pelajar perempuan yang ditemukan dalam keadaan tangan dan kaki diikat di tandas sebuah sekolah menengah di Sungai Petani, Kedah.

Kejadian mangsa diikat menggunakan tali leher dan mulut disumbat sapu tangan, dilaporkan berlaku pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, tindakan itu perlu dilakukan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

“Kita sedang melengkapkan siasatan terhadap dua pelajar yang ditahan dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

“Kesemua mereka masih di bawah umur dan situasi mangsa yang masih trauma menyebabkan kita memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan kertas siasatan,” katanya. 

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tahu nama mereka” - Ibu pelajar perempuan maut disyaki dibuli tak maafkan pelaku

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323/324 Kanun Keseksaaan.

Sementara itu Kosmo Online melaporkan, seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata kejadian dipercayai berlaku disebabkan perasaan tidak puas hati membabitkan pencapaian cemerlang mangsa dalam akademik sehingga diminati ramai pelajar lelaki di sekolah.

Ujarnya, ia menimbulkan rasa kurang senang salah seorang pelajar perempuan yang disyaki pelaku kerana teman lelakinya cuba mendekati mangsa.

Pelajar itu kemudian dipercayai bertindak mengajak rakannya mengikat mangsa serta memukulnya di dalam tandas sekolah.

Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar Tingkatan Satu dipercayai menjadi mangsa buli dua rakan sekolahnya angkara perasaan cemburu.

Kejadian buli membabitkan remaja berusia 13 tahun itu hanya disedari ibu mangsa yang menunggu di luar sekolah selepas mendapati anaknya tidak keluar seperti biasa selepas tamat sesi pembelajaran pada pukul 6.30 petang.

Mangsa dilaporkan mengalami cedera ringan di kaki dan tangan serta trauma.

Artikel Lain