suria

Zaim Ikhwan luah rasa kecewa, anggap pertuduhan pengabaian 'mengarut'

Zaim Ikhwan meluahkan rasa kecewa terhadap pasukan polis. -Foto Bernama

"SAYA kecewa dengan polis," demikian luahan Zaim Ikhwan Zahari ketika diminta mengulas tentang perintah mahkamah terhadap isterinya, Ismanira Abdul Manaf.

Dia berkata demikian selepas Mahkamah Sesyen Petaling Jaya memerintahkan wanita berusia 30 tahun itu membela diri bagi pertuduhan pengabaian anaknya, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, dua tahun lalu.

Zaim Ikhwan yang dilepas dan dibebaskan daripada mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 pada prosiding pagi Isnin turut menyatakan dia telah memberi kepercayaan penuh kepada pasukan polis untuk menangkap pembunuh anaknya.

"Saya tak tahu, tapi apa yang saya boleh cakap, saya kecewa dengan pihak polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Zayn Rayyan: Bapa dilepas dan dibebaskan, ibu diperintah bela diri

"Sepanjang saya dah bagi kerjasama, saya dah bagi sepenuhnya kepercayaan kepada pihak polis untuk tangkap pembunuh anak saya di luar sana.

"Inikah hasilnya, memang saya sangat kecewa," luahnya ketika ditemui wartawan Sinar Harian di mahkamah.

Bukan itu sahaja, bapa kepada dua cahaya mata ini turut menganggap bahawa pertuduhan yang dibuat terhadapnya adalah tidak wajar.

"Sepatutnya pertuduhan ini memang tak ada, mengarut," tambahnya ringkas.

Untuk rekod, Mahkmah Sesyen Petaling Jaya pada Isnin melepas dan membebaskan Zaim Ikhwan Zahari daripada pertuduhan pengabaian anaknya, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Petaling Jaya, Dr Syahliza Warnoh selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaim Ikhwan.

Ibu Zayn pula, Ismanira Abdul Manaf bagaimanapun diperintah untuk membela diri atas pertuduhan berkenaan.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan yang dikemukakan ke atas Ismanira.

Artikel Lain