PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia untuk membuat pengumuman khas penghargaan kepada semua rakyat Malaysia pada Rabu (esok).
Perkara itu diumumkan Menteri Komunikasi. Datuk Fahmi Fadzil di Facebook pada Selasa.
"YAB Perdana Menteri akan membuat pengumuman berkenaan penghargaan buat semua rakyat Malaysia pada 10.30 pagi, Rabu, 23 Julai 2025.
"Nantikan," tulisnya.
Antara ramalan warga warga maya.
Di ruangan komen, rata-rata warga maya tidak sabar menantikan pengumuman berkenaan sambil mengharapkan ia merupakan manfaat jangka panjang dan melibatkan semua rakyat.
"Harapnya ia pengumuman bekerja empat hari seminggu.
"Moga tiada yang terpinggir menerima manfaat ini.
"Harap bantuan Sara atau Mykasih ditambah untuk bantu ringankan beban kos sara hidup," demikian antara komen netizen.
Ramai menyambut baik sekiranya Perdana Menteri mengumumkan hari bekerja dipendekkan kepada empat hari seminggu.
Pada Sabtu lalu, Anwar ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera, Tunas Madani dan Projek Perumahan JKPSB di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang berkata beliau akan membuat pengumuman 'penghargaan luar biasa' kepada rakyat Malaysia tidak lama lagi.
"Saya memerlukan sedikit masa lagi untuk membuat pengumuman, bagi membolehkan pasukan saya di bawah Kementerian Kewangan menyediakan 'kejutan' dengan lebih terperinci bagi memastikan ia menyeluruh," ujarnya.