DUA hari bertarung nyawa, kanak-kanak lelaki yang dilaporkan lemas di kolam renang sebuah rumah inap di kondominium dekat Taman Kota Shahbandar, Kota Laksamana, Melaka, menghembuskan nafas terakhir pada Selasa.
Perkara itu dimaklumkan bapanya, Ahmad Ridzuan Supian, 36, selepas mengesahkan tular poster yang dimuat naik Sekolah Kebangsaan (SK) Rinting 3, Johor mengenai pemergian anaknya itu, Ahmad Firdaus Iqbal.
ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak lemas di kolam homestay bertarung nyawa di PICU
Sementara itu Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, jenazah kanak-kanak berusia tujuh tahun itu telah diserahkan kepada waris pada pukul 12.05 tengah hari untuk proses pengebumian.
"Waris membawa pulang jenazah ke rumahnya di Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor bagi urusan pengebumian," katanya memetik laporan Sinar Harian.
Mangsa sebelum ini dilaporkan kritikal di Hospital Melaka selepas lemas di kolam renang, dalam kejadian pada pagi Ahad lalu.