suria

Ismanira dakwa polis reka cerita bunuh anak sendiri, seumur hidup tak pernah abai Zayn Rayyan

Ismanira dakwa polis mereka cerita dia membunuh anaknya. -Foto Bernama

IBU kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matin mendakwa dia dipaksa membuat pengakuan membunuh anaknya sendiri ketika ditahan reman pada tahun lalu.

Ismanira Abdul Manaf, 30, mendakwa pihak polis tidak berpuas hati dengan keterangannya walaupun sudah memberikan kerjasama penuh sepanjang 13 hari siasatan.

"Mereka menuduh saya dan mengarang cerita yang perkara saya tidak lakukan. Mereka (polis) mereka cerita yang saya sebenarnya telah menjumpai anak saya lalu saya membunuh anak saya sendiri.

"Apabila saya menafikan, mereka tetap tidak puas hati," kata Ismanira semasa memberi keterangan dalam prosiding membela diri di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Selasa.

Dia memberikan keterangan itu ketika pemeriksaan utama peguamnya, Haresh Mahadevan.

Zayn Rayyan ditemukan meninggal pada 6 Disember 2023.

Menurut Ismanira, siasatan pada tahun lalu itu dijalankan enam bulan selepas kematian Zayn Rayyan di sebuah banglo dikenali sebagai 'safe house' di Petaling Jaya.

Ismanira yang juga saksi pembelaan pertama kes pengabaian kanak-kanak autistik itu turut menafikan tuduhan pengabaian ke atas Zayn Rayyan.

Tambah Ismanira, dia hanya berpisah dengan Zayn Rayyan ketika kanak-kanak itu ke sekolah atau sewaktu dia bekerja.

"Saya tidak mengabaikan Zayn seumur hidup saya dan khususnya pada waktu dan masa dalam pertuduhan itu. Saya tidak berada di Blok R sepanjang masa. Saya tidak pernah ke kawasan sungai seperti di dalam pertuduhan. 

ARTIKEL BERKAITAN: Zaim Ikhwan luah rasa kecewa, anggap pertuduhan pengabaian 'mengarut'

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Zayn Rayyan: Bapa dilepas dan dibebaskan, ibu diperintah bela diri

"Saya benar-benar hilang anak pada hari itu dan bukan saya mengabaikan. Saya yang mengandungkan, melahirkan dan membesarkan Zayn sepanjang usia Zayn. 

"Saya hanya berpisah dengan Zayn pada waktu saya bekerja dan waktu Zayn di sekolah sahaja. Saya tidak pernah membiarkan Zayn bersendirian atau mengabaikan," katanya.

Pada Isnin, mStar melaporkan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari daripada pertuduhan pengabaian anaknya, dua tahun lalu.

Ismanira bagaimanapun diperintah untuk membela diri atas pertuduhan berkenaan.

Untuk rekod, Zayn Rayyan yang juga seorang kanak-kanak autistik ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kediamannya pada pukul 10 malam, 6 Disember 2023.

 

Artikel Lain