IBU kepada Zayn Rayyan Abdul Matin mengesyaki kanak-kanak autistik itu dilarikan orang lain.
Menurut Ismanira Abdul Manaf, 30, dia tidak mendengar bunyi kasut kanak-kanak itu sebelum menyedari kehilangannya pada 5 Disember 2023.
"Saya syak anak saya dicekup dan dilarikan orang kerana saya langsung tidak mendengar bunyi kasutnya.
"Saya menggunakan deria pendengaran saya untuk mengawasi (Zayn) dan ada kalanya saya toleh (melihatnya).
"Kadang-kala dia berlari di depan saya dan kadang-kala di belakang. Namun, dia sentiasa di bawah pengawasan saya.
“Saya kenal anak saya. Zayn seorang yang bijak walaupun dia ada autisme. Dia tahu rumahnya,” katanya.
Ismanira memberi keterangan itu ketika pemeriksaan balas Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Ismanira dakwa polis reka cerita bunuh anak sendiri, seumur hidup tak pernah abai Zayn Rayyan
Ismanira merupakan saksi pembelaan pertama bagi kes itu.
Semasa prosiding, dia diwakili peguam Haresh Mahadevan, Lavanesh Haresh dan Ramzani Idris.
Prosiding pembelaan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh akan disambung pukul 10 pagi, Rabu.
Pada Isnin, mStar melaporkan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan suami Ismanira, Zaim Ikhwan Zahari daripada pertuduhan pengabaian mereka, Zayn Rayyan, dua tahun lalu.
Ismanira pula diperintah untuk membela diri atas pertuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan pindaan, mereka berdua didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, kerana mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.
Ia didakwa berlaku antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan 9.55 malam, 6 Disember 2023 di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan.
Untuk rekod, Zayn Rayyan yang juga seorang kanak-kanak autistik ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kediamannya pada pukul 10 malam, 6 Disember 2023.