GARA-gara membuat laporan palsu berhubung kehilangannya, pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin dan adiknya, Tengku Abdul Aziz dihukum penjara sebulan serta denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Muar pada Jumaat.
Keputusan itu dibuat oleh Majistret Suzana Mokhtar selepas pempengaruh dikenali sebagai Ija dan adiknya itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa.
Mahkamah turut memutuskan Ija, 38, dipenjara tiga bulan dan adiknya yang berusia 30 tahun pula berdepan penjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Padah buat laporan palsu kereta terjunam dalam sungai... Pempengaruh permotoran, adik didakwa di mahkamah hari ini
Mahkamah menetapkan hukuman penjara ke atas mereka berkuat kuasa bermula tarikh sabitan iaitu Jumaat, 25 Julai.
Sebelum ini, media melaporkan pempengaruh itu dikhuatiri lemas selepas kereta Perodua Axia dipandunya ditemukan terbabas ke dalam Sungai Tui, Bukit Kepong, 14 Julai lalu.
Bagaimanapun, siasatan lanjut dan keterangan daripada adik lelakinya membongkar cerita sebenar yang mana Ija berada di Thailand.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kemudiannya membuat laporan polis ke atas dua lelaki itu.
Sepanjang 'kehilangan' pempengaruh itu, bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat selama empat hari.