PASANGAN kekasih ditahan polis dipercayai mencuri nozzle paip bomba di pangsapuri di Semenyih, Selangor pada Khamis.
Pasangan warga tempatan yang masing-masing berusia 43 dan 44 tahun itu ditahan pada pukul 10.30 malam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan nozzle paip bomba dipotong disyaki dicuri, daripada penyelia pengawal keselamatan pangsapuri itu pada 30 Jun lalu.
“Hasil siasatan mendapati 26 unit nozzle paip bomba dari tingkat 5 sehingga tingkat 17 dipercayai dicuri oleh suspek. Susulan itu, kami menahan pasangan berkenaan.
“Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai tujuh rekod membabitkan narkotik dan satu rekod jenayah, manakala wanita itu pula mempunyai lapan rekod narkotik dan lima rekod jenayah," katanya pada Jumaat.
Tambahnya, hasil ujian awal saringan air kencing mendapati kedua-dua mereka positif methamphetamine.
"Mereka direman tiga hari sehingga Ahad untuk membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat di talian 012-2449414," katanya.