suria

“Kami amat kecewa, rasa diperalatkan” - Bomba luah rasa terhina Ija Nizaruddin reka cerita kereta tenggelam

Norshuhada (kanan) memaklumkan pihaknya kecewa dengan laporan palsu kehilangan Ija Nizaruddin.

TINDAKAN pempengaruh, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin memalsukan berita kehilangannya dianggap sebagai satu bentuk penghinaan kepada anggota penyelamat.

Pendirian itu dinyatakan Ketua Zon 4, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Norshuhada Amsari  di Mahkamah Majistret Muar, Johor pada Jumaat.

"Kami cukup kecewa dan rasa terhina dengan laporan palsu yang dibuat.

"Lebih 10 kali anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menyelam dalam sungai berlumpur, penglihatan terhad serta hampir gelap.

"Kami menyusur sungai, kebun getah dan ladang kelapa sawit," katanya ketika prosiding pertuduhan terhadap Tengku Nizaruddin atau Ija, 38 dan adik lelakinya, Tengku Abdul Aziz, 30, lapor Sinar Harian.

Majistret Suzana Mokhtar membenarkan Norshuhada, yang juga komander operasi ketika itu menyampaikan kenyataan tiga muka surat berkenaan selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan membuat laporan palsu.

Menurut Norshuhada, operasi menyelamat yang dijalankan pasukannya di Sungai Tui, Bukit Kepong pada 14 Julai lalu membahayakan keselamatan anggotanya dan mengganggu keutamaan operasi lain yang lebih penting.

Tambahnya, tindakan dua beradik itu menyebabkan kerajaan menanggung kerugian dari segi aset dan kos logistik seperti penggunaan bot penyelamat, jentera operasi, peralatan menyelam, dron serta bahan api.

ARTIKEL BERKAITAN: Ija, adik mengaku salah buat laporan palsu... Dihukum penjara sebulan, denda RM1,500

ARTIKEL BERKAITAN: Pempengaruh tak lemas, tapi larikan diri ke negara jiran… Adik subahat reka cerita

“Lebih mengecewakan, laporan palsu itu mengganggu operasi kami yang sepatutnya ditumpukan kepada kes sebenar membabitkan seorang mangsa yang terjatuh dari jambatan Sungai Gersik pada 17 Julai.

“Kami amat kecewa kerana diperalatkan. Ia menjejaskan moral dan kredibiliti pasukan serta kepercayaan masyarakat terhadap JBPM.” katanya.

Norshuhada berharap tindakan tegas dikenakan agar menjadi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak mempermainkan agensi penyelamat.

Terdahulu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,500 terhadap Tengku Nizaruddin dan Tengku Abdul Aziz selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu kepada penjawat awam.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara ke atas mereka berkuat kuasa bermula tarikh sabitan iaitu Jumaat, 25 Julai.

Sebelum ini, media melaporkan Tengku Nizaruddin dikhuatiri lemas selepas kereta Perodua Axia dipandunya ditemukan terbabas ke dalam Sungai Tui, Bukit Kepong, 14 Julai lalu.

Bagaimanapun, siasatan lanjut dan keterangan daripada adik lelakinya membongkar cerita sebenar yang mana dia sebenarnya berada di Thailand.

Artikel Lain