suria

“Kau nak cas apa, luculah!” - Padah cakap besar, 6 pelajar MRSM digantung sekolah, bakal dibuang lepas buli junior

Sekolah berasrama melatih pelajarnya untuk berdikari. -Gambar hiasan AI

PENDEDAHAN seorang bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang menjadi mangsa buli, mendapat perhatian Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau selaku Pengerusi Amanah Rakyat (Mara) menyatakan enam pelajar Tingkatan 5 yang terlibat dengan kegiatan buli digantung persekolahan serta-merta.

Beliau juga menegaskan bahawa kesemua mereka yang terlibat dicadangkan untuk dibuang sekolah dan tiada rayuan dibenarkan.

"Pagi-pagi lagi ramai tag perihal insiden buli yang berlaku di salah sebuah MRSM di Melaka.

"Terus saya minta laporan daripada pengurusan Mara. Enam pelajar T5 (Tingkatan 5) terlibat buli digantung dan dicadang untuk dibuang," ujarnya.

Asyraf Wajdi juga menegaskan bahawa pihak pengurusan tidak perlu melayani sebarang rayuan yang dibuat oleh pelajar mahupun keluarga terbabit.

Asyraf Wajdi meninggalkan komen balas pada hantaran pelajar terbabit.

"Saya sudah tegaskan kepada pihak pengurusan Mara, bahawa jangan dilayani sebarang rayuan.

"Bahkan tidak perlu juga bersusah payah nak berjumpa saya untuk merayu.

"Sudah banyak kali diperingatkan bahawa Mara tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk buli," tambahnya lagi.

Menurut beliau, ketegasan tersebut bagi melahirkan generasi pemimpin yang berakhlak dan beradab bukan petualang yang meranapkan nilai keagamaan serta ketamadunan.

"Saya berazam menjadikan MRSM dan institusi-institusi pendidikan Mara sebagai zon bebas buli, insyaAllah," tegasnya.

Terdahulu, tular satu hantaran beserta tangkap layar perbualan menerusi WhatsApp di media sosial yang menceritakan kisah seorang pelajar MRSM dibuli oleh senior.

Menurutnya, dia terpaksa keluar dari sekolah terbaik kerajaan itu disebabkan sikap beberapa pelajar senior yang mengganggunya.

"Salam, patutkah aku share kisah buli kat MRSM ni? Dulu masa keluar saja tak nak besar-besarkan sebab kesiankan masa depan mereka.

"Tapi aku dah keluar pun si terpaling senior ni kurang ajar dengan aku, aku rasa wajarlah untuk aku dedahkan kes ni," ujarnya menerusi laman Thread.

Berdasarkan tangkap layar perbualan yang dikongsikan, individu terbabit seolah-olah tidak menyedari buli yang dilakukan apabila mengajukan 'kau nak cas apa? Buli mental... luculah'.

Hantaran yang dibuat pada Jumaat malam itu turut menerima pelbagai reaksi warga maya.

Artikel Lain