suria

Dua remaja maut langgar belakang lori, pemandu hilangkan diri

Keadaan kemalangan melibatkan dua mangsa. -Foto IPD Kota Tinggi

DUA remaja lelaki maut selepas melanggar belakang lori di Kilometer 60.5 Jalan Sungai Rengit – Kota Tinggi, Johor awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.24 pagi itu, mangsa Muhammad Aisy Iqbal Hairolazuan, 18, dan Muhammad Aiman Farhan Halim, 19, disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kemalangan melibatkan dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan sebuah lori.

Pelanggaran yang berlaku itu membuatkan kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal secara berasingan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Pihak polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai satu kemalangan maut melibatkan tiga kenderaan termasuk dua motosikal dan sebuah lori yang belum dikenal pasti.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua motosikal didapati melanggar belakang sebuah lori. Kes masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Yusof, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan bedah siasat.

Tambahnya, pihak polis sedang mengesan pemandu lori terlibat.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd. Fairuz Abd Malek di talian 012-7415886,” katanya.

Artikel Lain