suria

Ribuan rakyat penuhi Sogo, Dataran Merdeka sertai himpunan 'Turun Anwar'

Orang ramai memenuhi Sogo untuk himpunan 'Turun Anwar'.

ORANG ramai dilihat berkumpul di sekitar pusat beli belah Sogo dan kawasan berhampiran bagi menyertai perhimpunan 'Turun Anwar' di Kuala Lumpur, sejak awal pagi Sabtu.

Sebahagian lagi mula bergerak menuju ke Dataran Merdeka bagi menyertai himpunan besar-besaran yang direncanakan pada pukul 2 petang.

Kehadiran pihak polis dapat dilihat dengan jelas, dengan puluhan anggota beruniform berkawal di sekitar kawasan.

Lebih 2,000 anggota polis dan petugas keselamatan ditempatkan di lokasi-lokasi tumpuan utama seperti pusat membeli-belah Sogo, Masjid Jamek, Masjid Negara dan Pasar Seni sejak sekurang-kurangnya pukul 11 pagi.

Perhimpunan ini dijangka menarik penyertaan seramai 15,000 orang, dengan rancangan untuk berarak ke Dataran Merdeka pada jam 2 petang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini menyatakan bahawa polis akan memberi kerjasama terhadap perhimpunan tersebut susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 1 Julai lalu.

Keputusan itu membatalkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana didapati tidak berperlembagaan, sekali gus menjadikan pemberitahuan awal kepada pihak berkuasa tidak lagi diwajibkan bagi penganjur. -The Star

Artikel Lain