SEORANG lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum terjatuh dari jejambat (flyover) setinggi kira-kira 21 meter, di Susur 1/B 0.5 Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu berlaku apabila motosikal jenis Yamaha YZF-R15 yang ditunggang mangsa dari Persiaran Mokhtar Dahari dipercayai hilang kawalan semasa melalui selekoh lalu terbabas dan melanggar pembahagi 'flyover’.
ARTIKEL BERKAITAN: Diseret, ditinggal terkulai atas highway! Pelajar maut ketika nak balik kolej, keluarga percaya mangsa dilanggar lari
"Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak dan terjatuh ke kawasan berumput di Persiaran Pulau Angsa dari ketinggian lebih kurang 21 meter," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Iqbal berkata, mangsa berusia 23 tahun yang merupakan seorang kakitangan sokongan teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Mana-mana saksi bebas yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman di talian 012-2836851," katanya.