SERAMAI 42 jemaah umrah dari Malaysia dilaporkan terkandas di Jeddah selepas penerbangan pulang mereka dibatalkan tanpa sebarang notis atau jaminan penggantian tiket.
Menurut mutawif, Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi, mereka sepatutnya berlepas pulang ke tanah air pada Sabtu malam, namun setibanya di lapangan terbang, mereka dimaklumkan tiada tiket penerbangan disediakan oleh agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan.
"Kami terpaksa bermalam di sini tanpa hujung pangkal dan tanpa jaminan kami akan balik esok.
"Pihak agensi seperti tidak menunjukkan usaha kuat untuk menyelesaikan isu ini," dakwanya menerusi perkongsian video [Tonton Video].
Tambahnya lagi, jemaah terpaksa menanggung sendiri kos tambahan termasuk penginapan, makanan dan pengangkutan yang mencecah ribuan ringgit.
Keadaan menjadi lebih menyedihkan apabila kebanyakan jemaah berumur antara 40 hingga 60 tahun kelihatan kepenatan dan pada masa yang sama kecewa.
Abu Sufyan turut memaklumkan bahawa dia telah berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Arab Saudi, dan pihak kedutaan akan cuba membantu semampu yang boleh.
“Saya buat video ini agar ia dapat disebarkan dan diambil tindakan segera. Saya merayu kepada sesiapa yang bertanggungjawab atau berkemampuan untuk membantu kami pulang ke Malaysia secepat mungkin,” katanya.
Dia turut menggesa agar pihak agensi pelancongan yang terbabit tampil bertanggungjawab dan menyelesaikan isu ini dengan penuh integriti.
“Kalau anda tengok video ini, selesaikan dengan cara seorang lelaki selesaikan.
“Doakan kami dapat pulang secepat mungkin," katanya.
Sementara itu, Abu Sufyan ketika dihubungi mStar pada Ahad memaklumkan setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang perkembangan positif daripada pihak agensi.
"Setakat ini tiada apa-apa ‘update’ positif daripada pihak pengurusan. Respon daripada kedutaan juga belum memberi sebarang berita gembira.
"Situasi sekarang ini mungkin kami perlu duduk lebih lama di sini dan perlu keluarkan duit poket sendiri untuk membeli tiket balik.
"Harapan saya daripada video yang tular sebelum ini, semoga ada pihak yang tampil membantu kami pulang ke tanah air,” katanya.