suria

Tun M pakai baju ‘Turun Anwar’, harap kerajaan faham mesej rakyat

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka pada petang Sabtu. -Foto AFP

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kemunculan di Dataran Merdeka pada petang Sabtu bagi menyertai Himpunan Turun Anwar yang dianjurkan pembangkang. 

Mengenakan kemeja-T berwarna hitam bertulis 'Turun Anwar', negarawan tersebut menjadi pemimpin terakhir yang menyampaikan ucapan di hadapan puluhan ribu peserta himpuan.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir berharap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memahami mesej serta gesaan daripada perhimpunan berkenaan.

"Saya meletakkan jawatan apabila saya tidak mendapat sokongan parti saya, malah rakyat," kata Dr Mahathir.

ARTIKEL BERKAITAN: Ribuan rakyat penuhi Sogo, Dataran Merdeka sertai himpunan 'Turun Anwar'

Negarawan berusia 100 tahun itu juga memetik banyak contoh perdana menteri asing yang meletak jawatan apabila mereka hilang sokongan, sambil menggesa Anwar meletak jawatan. 

Himpunan berkenaan turut dihadiri Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Parti Pejuang Tanah Air, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan ramai lagi.

Peserta himpunan menadah tangan ketika doa dibacakan sebelum bersurai.

Selepas ucapan Dr Mahathir, himpunan berkenaan diakhiri dengan bacaan doa serta lagu Negaraku.

Peserta himpunan mula bersurai dari Dataran Merdeka sekitar pukul 5.16 petang. 

Terdahulu, peserta Himpunan Turun Anwar anjuran pembangkang dilaporkan mula memenuhi kawasan pekarangan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman seawal pukul 7 pagi.

Peserta turut berkumpul di beberapa lokasi iaitu Masjid Jamek, Masjid Negara dan Pasar Seni sebelum berarak ke Dataran Merdeka pada pukul 2.00 petang. -The Star

 

Artikel Lain