PERSADA Global Holidays Sdn Bhd mengesahkan berlaku kelewatan penerbangan pulang membabitkan sebahagian jemaah umrah yang dikendalikan syarikat berkenaan dari Jeddah ke Kuala Lumpur.
Tampil memberi penjelasan menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Ahad, pengarah urusannya, Shahir Ibrahim berkata, insiden berlaku berikutan beberapa isu logistik dan teknikal yang tidak dijangka.
Ia termasuk kekangan dana operasi serta cabaran dalam mengesahkan tiket penerbangan pulang dalam tempoh yang ditetapkan.
"Syarikat tidak melarikan diri atau mengabaikan tanggungjawab.
"Semua tindakan sedang diambil secara menyeluruh dan berfasa," menurutnya.
Menurut Shahir, semua jemaah yang terkandas berada dalam keadaan selamat dan dijaga oleh petugas syarikat pelancongan itu di Jeddah, dengan keperluan asas dan penginapan yang diuruskan.
ARTIKEL BERKAITAN: Ramai prihatin, nak bantu jemaah umrah terkandas… 4 orang dah beli tiket sendiri - PU Abu
ARTIKEL BERKAITAN: 42 jemaah umrah Malaysia terkandas di Jeddah, agensi tak sediakan tiket pulang
"Pihak syarikat sedang mengatur pembelian tiket pulang secara berperingkat untuk memastikan semua jemaah kembali ke tanah air secepat mungkin.
"Kami juga mengusahakan penyelesaian segera termasuk memohon kerjasama daripada jemaah yang berkemampuan untuk memberikan pinjaman sementara bagi pembelian tiket, dengan komitmen bayaran balik dalam tempoh 90 hari.
"Kami mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku, dan berjanji untuk menyelesaikan isu ini secara telus, adil dan bertanggungjawab," ujar.
Tambah Shahir, syarikat tersebut juga sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan akan menyerahkan laporan penuh kepada pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Terdahulu media melaporkan seramai 43 jemaah termasuk seorang mutawif terkandas di Jeddah selepas agensi yang menguruskan perjalanan mereka didakwa gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke tanah air.
Kumpulan terbabit sepatutnya berlepas pulang ke tanah air pada Sabtu malam, namun setibanya di lapangan terbang, mereka dimaklumkan tiada tiket penerbangan disediakan oleh agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan.