suria

[V] Ramai prihatin, nak bantu jemaah umrah terkandas… 4 orang dah beli tiket sendiri - PU Abu

PU Abu berkongsi perkembangan terbaharu mengenai situasi jemaah yang terkandas di Jeddah.

MUTAWIF mengendalikan 42 jemaah umrah yang dilaporkan terkandas di Jeddah memaklumkan sehingga kini belum ada perkembangan positif mengenai tiket penerbangan pulang mereka ke tanah air.

Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi berkata, bagaimanapun empat daripada jemaah dijangka pulang selepas membeli tiket menggunakan biaya sendiri.  

"Hari kedua terkandas di Jeddah. Bersama saya ada 42 jemaah termasuk saya 43, dan Insya-Allah ada empat jemaah yang membeli tiket sendiri. Jadi tinggal 39 orang," ujarnya menerusi perkongsian video [Tonton Video] terbaharu di Instagram.

Muhammad Abu Sufyan atau lebih dikenali sebagai PU Abu berkata, beberapa pihak sudah menghubunginya untuk menawarkan bantuan dan dia amat berharap urusan kepulangan jemaah di bawah kendaliannya dipercepatkan memandangkan ada antara mereka yang hamil, berusia serta mempunyai masalah kesihatan. 

ARTIKEL BERKAITAN: 42 jemaah umrah Malaysia terkandas di Jeddah, agensi tak sediakan tiket pulang

"Alhamdulillah saya panjatkan kesyukuran kepada Allah dan terima kasih banyak kepada beberapa individu menghubungi saya, berniat bantu saya dan para jemaah. 

"Ada pihak travel agensi lain juga hubungi, yang saya rasa bantuan itu memberi banyak keringanan kepada kami. 

"Tujuan saya viralkan apa yang berlaku bukan kerana populariti, bukan kononnya nak diangkat jadi penyelamat, tidak.

"Tapi sebab saya nak terbangkan jemaah balik. Doakan kami selamat dan doakan pihak yang nak membantu agar urusan mereka dipermudahkan," ujarnya lagi.  

Terdahulu pada Sabtu, PU Abu memuat naik video di media sosial bagi memaklumkan situasi 42 jemaah terkandas di Jeddah selepas agensi yang menguruskan perjalanan mereka didakwa gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke tanah air.

Kumpulan terbabit sepatutnya berlepas pulang ke tanah air pada Sabtu malam, namun setibanya di lapangan terbang, mereka dimaklumkan tiada tiket penerbangan disediakan oleh agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan.

Disebabkan masalah tersebut, jemaah terpaksa menanggung sendiri kos tambahan termasuk penginapan, makanan dan pengangkutan yang mencecah ribuan ringgit.

Artikel Lain