PUTRAJAYA sedang mempertimbangkan larangan menyeluruh ke atas penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape di seluruh negara, menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Dr Dzulkefly memaklumkan satu jawatankuasa khas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengemukakan cadangan tersebut bagi menangani penyalahgunaan rokok elektronik.
"Ia akan dibawa dalam bentuk cadangan yang mana kementerian akan mengangkat agenda larangan vape," katanya ketika sidang media di Parlimen pada Isnin.
Tambahnya, larangan produk vape memerlukan penelitian menyeluruh dari sudut undang-undang, industri, hasil kerajaan serta aspek pelesenan.
ARTIKEL BERKAITAN: Perokok insaf lepas 26 hari bertarung sakit dalam wad, saksi budak muda mati akibat vape - “Luaran arwah nampak biasa je”
Menurutnya lagi, satu mesyuarat jawatankuasa berkaitan telah diadakan pada 22 Julai lalu.
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata KKM sedang menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang merangkumi pendaftaran produk merokok dan vape, larangan terhadap individu bawah umur, serta sekatan terhadap penjualan produk merokok dan vape, selain beberapa langkah lain.
Sehingga 30 Jun lalu, kementerian menjalankan 15,775 operasi, mengeluarkan 78,424 notis dan membuka 524 kertas siasatan.
Tambahnya, sebelum penguatkuasaan Akta 852 pada 1 Oktober tahun lalu, terdapat 3,200 jenama dengan 6,800 varian produk vape di pasaran.
“Kini hanya tinggal 390 jenama dengan 2,794 varian yang telah didaftarkan,” katanya lagi.