suria

Nampak banyak darah keluar dari hidung, leher dan mata... Ibu pelik jenazah anak pelatih Palapes ada kesan lebam

Ummu Haiman Bee Daulatgun (tengah) merayu agar siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian anaknya.

IBU kepada Syamsul Haris Shamsuddin, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai merayu agar siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian anaknya.

Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mendakwa kematian Syamsul, 22, yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu menimbulkan rasa curiga susulan keadaan fizikal mangsa yang dilihat tidak sepadan dengan sebab kematian yang didakwa akibat sawan.

"Saya diberitahu anak meninggal dunia pada 28 Julai pukul 4.33 petang oleh seorang pensyarah melalui panggilan telefon.

"Sebab kematian yang dimaklumkan adalah kerana mengalami sawan selepas menjalani latihan menembak.

"Tapi apabila saya melihat jenazah di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, keadaannya sangat menyayat hati. Terdapat banyak darah keluar dari hidung, leher dan mata. Tubuhnya juga kelihatan lebam serta dadanya dipenuhi kesan seakan darah beku," ujar Ummu Haiman yang merupakan seorang guru.

Dia berkata demikian dalam sidang media di pejabat peguam Datuk Naran Singh & Co, Ipoh, pada Jumaat.

Ibu tunggal itu juga memaklumkan dia tidak dibenarkan melihat keseluruhan jenazah atau mengambil gambar ketika di hospital berkenaan, sebelum membuat permintaan agar urusan bedah siasat dilakukan di Hospital Sultan Ismail kerana mahu ia dilakukan oleh pakar forensik.

Ujarnya, laporan yang diterima selepas bedah siasat masih tergantung dengan alasan menunggu keputusan makmal kimia, yang dijangka mengambil masa tiga bulan.

Ummu Haiman berkata, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada Khamis bagi meminta siasatan lanjut dijalankan terhadap kematian anaknya itu.

"Saya tidak menuduh sesiapa, cuma saya mahukan kebenaran. Saya minta polis siasat secara menyeluruh dan temu bual semua pelatih yang ada bersama anak saya semasa perkhemahan itu," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan terbaharu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Yusof Othman berkata, polis akan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk merakam percakapan saksi dan pegawai perubatan yang terbabit bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.

Artikel Lain