PEGUAM yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengesahkan satu laporan polis tambahan sudah dibuat bagi memohon supaya kubur arwah pelajar tersebut digali semula untuk melakukan bedah siasat terhadap jenazahnya.
Laporan polis berkenaan dibuat pada 30 Julai oleh ibu Allahyarham, Noraidah Lamat.
Peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri menerusi satu kenyataan media berkata, selaras kehendak anak guam, mereka menulis surat kepada Jabatan Peguam Negara di Kota Kinabalu pada Khamis (31 Julai).
"Ia bagi memohon mereka melaksanakan kuasa di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk mengarahkan majistret mengadakan satu inkues bagi menentukan punca kematian si mati dengan kadar segera.
"Kami berharap Jabatan Peguam Negara akan bersetuju dengan permohonan kami bagi membantu pihak polis menyelesaikan siasatan mereka dalam tempoh terdekat," ujar kenyataan tersebut.
Peguam turut memaklumkan laporan polis tambahan itu difailkan di Balai Polis Sipitang bagi memohon pihak polis menyiasat kes kematian Zara Qairina secara teliti.
ARTIKEL BERKAITAN: Kak Wana, Kak Dedeng dan Tomboi beri keterangan kes kematian Zara Qairina
"Beliau (Noraidah) mempunyai rakaman perbualan telefon dengan Zara Qairina yang mana anaknya itu memaklumkan terdapat pelajar-pelajar senior yang sering mengganggu atau membulinya.
"Antaranya ialah Kak M yang pernah mengugut Zara Qairina dengan berkata... kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni.
"Dalam laporan polis itu juga, anak guam kami menyatakan keraguannya tentang punca kematian Zara Qairina yang kononnya jatuh dari tingkat tiga bangunan.
"Wajah Zara Qairina tidak mempunyai kecederaan fizikal, lebam atau luka yang lazimnya berkait kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi. Ini ditambah tindakan pihak sekolah yang meminta anak guam kami agar tidak membuat laporan polis," katanya.
Dalam kenyataan itu juga, peguam tersebut menafikan tuduhan yang mengaitkan anak guam mereka dengan kematian mangsa.
"Kami dengan ini juga menafikan semua tuduhan bahawa kematian Zara Qairina disebabkan ibunya. Tuduhan ini tidak benar dan adalah satu fitnah jahat kepada anak guam kami. Tidak ada 'plot twist' dalam kes ini," katanya lagi.
Pihak peguam juga berkata, anak guamnya percaya bahawa arwah tidak membunuh diri, sebaliknya wujud unsur-unsur jenayah yang menyebabkan kematian.
"Atas dasar ini, anak guam kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan," katanya.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, meninggal dunia pada 17 Julai, sehari selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya.
Kisah kematian pelajar tersebut tular di media sosial sehingga mencetuskan gerakan #JusticeForZara selepas timbul dakwaan mangsa maut akibat dibuli.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun pada Khamis memaklumkan, seramai 60 individu dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes kematian pelajar tersebut.