TIGA pegawai polis yang terlibat dalam penyiasatan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan disiasat Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Ketegasan itu disuarakan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay sejajar kertas siasatan tatatertib yang dibuka pasukan terbabit.
Malah, pasukan JIPS juga akan dihantar ke Sabah untuk tindakan lanjut.
Tambah beliau, pegawai yang terlibat adalah Ketua Polis Daerah berpangkat Superintendan, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan pegawai penyiasat berpangkat Inspektor.
ARTIKEL BERKAITAN: Jabatan Peguam Negara arah inkues siasat punca kematian Zara Qairina
ARTIKEL BERKAITAN: Gagal patuh SOP, tak mohon bedah siasat... Pegawai penyiasat kes Zara Qairina akan diambil tindakan
"JIPS akan ambil keterangan semua dan kita akan buka kertas tatatertib.
JIPS akan pergi dalam masa sehari dua ini, kesemua pegawai berkenaan masih bertugas," ujarnya kepada media.
Mengulas tentang siasatan tatatertib berkenaan, jelas Ayob, fokus utama adalah aspek penyeliaan kes kematian arwah Zara Qairina.
Malah katanya, tindakan tegas wajar diambil terhadap mereka yang gagal melaksanakan tanggungjawab penyeliaan dan mendapatkan siasatan menyeluruh.
"Mereka kena bertanggungjawab, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak atau pegawai bertanggungjawab untuk menyelia, memantau kertas siasatan… yang tidak buat penyeliaan kita akan ambil tindakan," katanya.
Pada Rabu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar menyatakan terdapat ketidakpatuhan terhadap prosedur siasatan apabila pegawai penyiasat tidak membuat permohonan untuk bedah siasat.
Perkara itu dibongkarkan Pasukan Khas Bukit Aman yang dihantar ke Sabah pada 11 Ogos lalu.
Jabatan Peguam Negara (AGC) juga telah mengarahkan supaya inkues dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian Allahyarham Zara Qairina, selaras peruntukan di bawah Subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].
Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama SMKA Tun Datu Mustapha Limauan di Papar pada 16 Julai lalu.
Remaja tersebut bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada pukul 11 pagi, keesokan harinya.