suria

Tangki lori meletup ketika kerja kimpalan, 2 mangsa tercampak tiga meter ke udara

Seorang pemandu maut akibat letupan lori tangki pada Ahad. -Foto Bomba

SEORANG pemandu lori maut selepas sebuah tangki lori meletup ketika kerja kimpalan pada Ahad.

Kejadian berlaku di sebuah bengkel di Batu 6, Kuala Sawah, Negeri Sembilan.

Mangsa, N Jayagobinath, 33, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Syazwan Saidy, seorang lagi mangsa, Suhardi Labeddu, 40, mengalami kecederaan.

"Setibanya kami di lokasi pada pukul 1.36 tengah hari, didapati berlaku letupan melibatkan tangki kosong mengandungi sisa bahan kimia jenis Hexane yang sedang menjalani kerja kimpalan di bahagian injap atas.

"Saksi memaklumkan, ketika kejadian, dua mangsa berada di atas tangki itu untuk menjalankan kerja-kerja kimpalan sebelum berlaku letupan secara tiba-tiba.

"Ia menyebabkan mereka tercampak hampir tiga meter ke udara dan hampir mengenai bumbung bengkel,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, mangsa yang cedera  dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk rawatan.

Mayat mangsa yang terbunuh pula diserahkan kepada polis dan dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat.

Artikel Lain

Suami Dian P Ramlee meninggal dunia