PENEMUAN mayat pelajar kolej wanita berusia 20-an di rumah keluarganya di USJ 2/1, Subang Jaya, Khamis lalu, diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, bedah siasat yang dijalankan oleh pakar patologi Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa adalah pendarahan di sekeliling tulang leher (hyoid bone).
"Pakar patologi juga mendapati kecederaan yang terjadi pada otot dan tulang mangsa adalah akibat manual strangulation (cekik).
"Berikutan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: Suspek utama kes bunuh pelajar universiti Cyberjaya ada kad akses kondominium... Pernah datang bermalam di rumah
Wan Azlan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mendapatkan maklumat dan motif kejadian.
Terdahulu, polis menerima panggilan pada pukul 11.55 pagi Khamis daripada bapa mangsa, memaklumkan anak perempuannya ditemui tergantung pada kipas di ruang tamu di tingkat dua rumah terbabit.
Tambah Wan Azlan, mangsa tinggal bersama kakak dan sepupunya, namun ketika kejadian, dia hanya bersendirian di rumah milik keluarganya itu dan tiada kehilangan harta benda dilaporkan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu di media sosial.
"Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil memberi kerjasama melalui talian 03-278627100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Zainol Aazizi Abu Bakar di talian 013-3227632," katanya.