suria

Warga emas terkejut gigit roti ‘inti’ seekor tikus, premis tampil beri penjelasan

Bendasing dipercayai bangkai tikus di dalam roti yang dibeli seorang pelanggan dari sebuah rangkaian kedai roti terkenal, Jumaat lalu.

HASRAT seorang warga emas mahu menikmati roti terbantut selepas mendapati kewujudan 'bendasing' di dalam makanan tersebut.

Apa yang mengejutkan, setelah diamati dengan teliti, 'inti' di dalam roti tersebut rupa-rupanya bangkai seekor tikus!

Menerusi hantaran di Threads, seorang individu yang menggunakan akaun @faezzz.z berkata, roti berkenaan dibeli di sebuah kedai rangkaian roti terkenal di pasar raya dekat Taiping, Perak pada 15 Ogos lalu.

Dia turut berkongsi gambar roti mengandungi bangkai tikus berkenaan, bagi menuntut penjelasan kedai roti terbabit. 

ARTIKEL BERKAITAN: Ayam gepuk telur lalat... Peniaga kata mungkin juga silap pelanggan! Ketahui risiko jika termakan

"Mohon tanggungjawab ya kalau jadi apa-apa dekat bapa saya. Nasib baik tak sempat 'ngap' semua, baru makan roti ja. 

"Tapi kena pergi check-up juga ni. Macam mana benda ni boleh terlepas? Bukan cicak atau lipas, ini tikus seekor! Gila punya kerja," tulisnya sambil menambah, dia turut membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jabatan berkaitan.

Perkongsian individu tersebut mengundang perhatian netizen yang rata-ratanya menggesa pihak berkaitan mengambil tindakan kerana melibatkan isu kebersihan.

Kenyataan media Harold's susulan insiden tular berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan terbaharu, rangkaian kedai roti Harold's tampil memohon maaf dan memberi penjelasan susulan hantaran berkenaan yang kini tular di media sosial.

"Dalam masa kurang dari 24 jam, pegawai dari KKM telah memeriksa kedai kami di AEON Taiping. Kami menerangkan proses pengeluaran roti serta piawaian keselamatan makanan yang kami amalkan. 

"Tanda-tanda infestasi tikus di kedai tidak dikesan dan pihak KKM tiada halangan untuk kami meneruskan operasi," menurut kenyataan Harold's pada Sabtu. 

Tambah kenyataan itu lagi, pihaknya bekerjasama dengan Rentokil, pakar kawalan makhluk perosak, bagi melakukan pemeriksaan setiap bulan di semua cawangan bakeri. 

"Pemeriksaan terakhir di cawangan Aeon Taiping telah dilakukan pada 6 Ogos, dan tiada tanda kehadiran tikus dikesan semasa penyelenggaraan perangkap gam dan stesen anti-gangguan yang telah dipasang sepanjang tiga bulan lepas," tulisnya sambil menambah, pihak pengurusan sudah berhubung dengan pelanggan terbabit. 

Difahamkan, kedua-dua pihak akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat susulan isu berkenaan. 

 

Artikel Lain

Suami Dian P Ramlee meninggal dunia