suria

Prosiding inkues kematian Zara Qairina dijalankan selama 19 hari

Punca sebenar kematian Zara masih lagi dalam siasatan.

PROSIDING inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, ditetapkan bermula 3 September ini dan berlangsung selama 19 hari sepanjang bulan tersebut.

Hakim Koroner yang juga Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz, menetapkan tarikh berkenaan ketika sebutan kes di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah pada Isnin.

Menurut jadual, prosiding akan diadakan pada 3 hingga 4, 8 hingga 12, 17 hingga 19 serta 22 hingga 30 pada September depan.

Turut hadir pada prosiding sebutan itu ialah pasukan peguam yang mewakili ibu Allahyarham, Noraidah Lamat, serta pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Antara barisan peguam yang hadir termasuklah Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.

Rabu lalu, Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk mengadakan prosiding inkues selepas meneliti laporan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikemukakan pada Selasa.

Keputusan itu dibuat mengikut subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593], bagi menentukan punca sebenar kematian remaja berusia 13 tahun itu termasuk sama ada wujud unsur jenayah dalam kes berkenaan. -The Star

Artikel Lain

Suami Dian P Ramlee meninggal dunia