suria

Polis Bukit Aman ambil alih kes serangan anak Rafizi

JSJ Bukit Aman menyiasat kes melibatkan serangan terhadap anak Rafizi. -Foto Bernama (kiri)

KES serangan melibatkan anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli kini dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Shazeli Kahar berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan berpusat.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Kerjasama masyarakat amat dihargai demi memastikan keadilan dan ketelusan dalam proses siasatan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam kejadian Rabu lalu, anak lelaki Rafizi berusia 12 tahun didakwa diserang dua individu menaiki motosikal di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

Mangsa dikatakan diheret sebelum salah seorang suspek secara tiba-tiba mencucuknya dengan jarum suntikan, di kawasan menurunkan dan mengambil penumpang.

ARTIKEL BERKAITAN: “Diam, andai teruskan Aids” - Isteri Rafizi dapat mesej ugutan sehari selepas anak lelaki diserang

ARTIKEL BERKAITAN: Polis tingkat kawalan keselamatan terhadap keluarga Rafizi

Namun, anak kepada bekas Menteri Ekonomi itu tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

Pihak polis mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan.

Sementara itu, isteri Rafizi turut menerima mesej berbaur ugutan daripada nombor yang sama pada dua waktu berbeza iaitu 1.12 pagi dan 11.02 pagi, Khamis.

Perkara itu didedahkan sendiri Rafizi yang memaklumkan mesej berkenaan turut disertakan dengan emoji picagari, dipercayai berkait dengan serangan terhadap anaknya.

Artikel Lain

Suami Dian P Ramlee meninggal dunia