SEORANG mualaf yang baru sembilan hari memeluk agama Islam ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta di Cyberjaya pada 19 Julai lalu.
Kisah mengenai Allahyarham Jeremy Mah Ci Wei Abdullah, 26, baru sahaja tular di media sosial selepas ia dikongsi oleh tunangnya, Qistina Liew.
Menurut Qistina, dia berjaya mengesan lokasi terakhir tunangnya itu selepas membuat carian menggunakan peranti Apple, iPhone.
"Saya tunggu dia datang rumah selepas syif kerjanya berakhir 9 pagi. Tapi dia tak respon.
"Saya periksa WhatsApp Web, nampak bos dia tanya sekiranya dia datang kerja atau tak pada pukul 5 pagi.
"Saya panik dan terus jejaki menggunakan fungsi Find My melalui iPhone. Saya jumpa dia tak sedarkan diri dalam kereta dekat tempat kerjanya," tulis Qistina.
Qistina berkata tunangnya meninggal dalam kereta berdekatan tempat kerjanya.
Menurutnya lagi, tubuh Allahyarham juga sudah sejuk pada waktu itu dan hospital menganggarkan dia sudah meninggal tujuh ke lapan jam sebelum ditemukan.
"Namun, cara saya jumpa dia agak aneh. Dia terbaring di kerusi penumpang. Tingkap sedikit terbuka. Enjin hidup dan aircond dipasang.
"Saya cuba kejut lagi (masa jumpa arwah). Pengsan ke? Kemudian saya pegang tangan dia. Saya perasan kuku dia dah berwarna biru dan coklat.
"Masa tu saya dah blur, saya cuba angkat, sejuk dan keras. Saya cuba angkat tapi tak boleh. Muka dia pucat," imbasnya, sebak.
Menurut Qistina lagi, pihak polis dan forensik masih menjalankan siasatan berhubung kematian lelaki itu.
Tambah Qistina, Allahyarham yang memeluk Islam pada 10 Julai lalu sedang dalam perancangan untuk berkahwin dengannya, namun hasrat itu tidak kesampaian.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur pada 20 Julai lalu.