suria

[V] Kematian Zara Qairina ada unsur buli, pengabaian dan gangguan seksual

Saifuddin menyatakan terdapat unsur buli dalam kes kematian Zara Qairina.

SIASATAN kes kematian Zara Qairina Mahathir mendedahkan terdapat unsur buli, pengabaian dan gangguan seksual.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak polis mengenal pasti perkara itu hasil daripada siasatan yang dijalankan.

"Ya, saya ingin nyatakan di sini dengan jelas bahawa memang ada unsur buli. Itu jelas.

"Terdapat juga unsur-unsur pengabaian, kerana Zara sudah membuat aduan kepada pihak sekolah dan terdapat juga unsur-unsur gangguan seksual yang sedang disiasat," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Prosiding inkues kematian Zara Qairina dijalankan selama 19 hari

Selain itu Saifuddin menegaskan dakwaan kononnya kes membabitkan pelajar berusia 13 tahun berkenaan cuba ditutup atau dimanipulasi adalah tuduhan serius yang tidak menggambarkan proses siasatan sebenar.

"Tuduhan mengatakan bahawa kes ini cuba ditutup atau dimanipulasi adalah tuduhan sangat berat. Tidak mencerminkan integriti pihak berkuasa. 

"(Sedangkan) siasatan ini membawa kepada diari Zara yang diserahkan oleh guru kepada pihak polis dengan catatan 51 halaman yang memberi luahan Zara pada momen-momen tentang apakah masalah dihadapi.

"Keterangan daripada rakan-rakan yang tinggal dalam satu asrama dengan dia termasuk apa yang berlaku pada tarikh 14 hingga 15 Julai (sebelum kejadian). Itu semua polis lengkapkan dalam siasatan," jelasnya. 

Beliau turut mengingatkan pihak pentadbiran sekolah supaya segera menyalurkan maklumat sekiranya berlaku kejadian seumpama itu bagi mengelakkan tragedi berulang.

Untuk rekod, Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang di asrama sekolahnya di Papar, Sabah kira-kira pukul 4 pagi pada 16 Julai lalu.

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Sabah pada 17 Julai.

Pada Isnin,  Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz memaklumkan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara ditetapkan bermula 3 September ini yang berlangsung selama 19 hari.

Artikel Lain

Suami Dian P Ramlee meninggal dunia